Friday, September 3, 2010

Kisah Pokok Epal

Kisah Pokok Epal


Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu
gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta
memakan epal   sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal
tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai
budak tersebut.


Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan
masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang
kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak
pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab
budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja
itu dengan nada yang sedih. Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada
padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau
inginkan." Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ.
Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih. Masa berlalu...


Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa
bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk
keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah.
Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok
epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal
itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih
kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.


Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak
lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa. "Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki
yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar.
Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu. "Aku tidak mempunyai
bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau
akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan
menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali
lagi selepas itu.


Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal
itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku. Aku tidak
ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk
kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..."
kata pokok epal itu dengan nada pilu. "Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk
memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang
pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.


CERITA INI DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK KITA SEMUA BERFIKIR TENTANG PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA
TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIMAKSUDKAN ITU ADALAH KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA
MASIH MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA PERLUKAN BANTUAN
MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA
KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN
KITA BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP.

No comments:

Post a Comment